Nordin Amrabat membidas kekurangan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Maghribi tewas 1-0 di tangan Portugal sehingga menyaksikan mereka gagal melepas peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Maghribi ketinggalan seawal minit keempat apabila Cristiano Ronaldo menanduk bola masuk bagi membolehkannya melepasi rekod Ferenc Puskas selaku penjaring terbanyak Eropah di pentas antarabangsa.

Skuad Singa Atlas itu mensia-siakan beberapa peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, termasuk dua dakwaan penalti yang ditolak pengadil, Mark Geiger, tanpa menggunakan khidmat VAR sehingga mengundang kemarahan pengurus Maghribi, Herve Renard.

Maghribi kini tewas dalam dua aksi tanpa menjaringkan sebarang gol dan sebarang keputusan yang diraih dalam pertemuan dengan Sepanyol tidak akan memberikan sebarang perubahan kepada laluan mereka di Russia.

Namun, Amrabat yakin pasukannya berhak meraih keputusan yang lebih baik sewaktu bertemu Portugal.

"Saya rasa kami layak menerima keputusan yang lebih bagus. Kami berhak menang. Maghribi memiliki lima atau enam peluang keemasan dan lawan tidak melakukan apa-apa," kata Amrabat.

"Mereka hanya bertahan sehingga Ronaldo berada di kawasan sendiri. Mereka bercakap tentang VAR tetapi jika ia tidak digunakan, sudah tentu ia tidak mampu memberikan sebarang fungsi."