Bekas pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari, menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji November serta bonus kejayaan layak ke final Piala Malaysia yang masih belum diterima pemain.

Amirudin menegaskan tanggungjawab berkenaan kini di bawah FAS dan pihak kerajaan negeri tidak mahu lagi menghulurkan sebarang bantuan.

"Selepas mereka menjual pemain-pemain utama seperti Shahrom (Kalam), Hafiz (Kamal), Hazwan (Bakri), dan juga terkini, R. Gopinathan, mereka sudah boleh membayar untuk November.

"Kenapa mereka tidak selesaikan sehingga November dan meletakkan bebanan itu kepada kerajaan negeri?

"Pada pihak kerajaan negeri, kalau mereka sudah gunakan (wang), kami ingin tahu apa kegunaan wang tersebut dan saya rasa kerajaan negeri boleh membantu. Kami akan tengok tabung yang disediakan," katanya.

Biarpun tidak bersikap 'tutup pintu' sepenuhnya, pihak kerajaan negeri yakin kantung FAS buat masa ini sudah mencukupi selepas menjual beberapa pemain.

Mengenai isu tidak mahu lagi bersama FAS, Amirudin berkata, pendiriannya sudah jelas sejak Ogos tahun lalu.

Selepas ini, fokusnya adalah untuk membantu perkembangan Akademi Merah Kuning yang dijangka bermula pada tahun ini.

"Semenjak dari Ogos lagi, saya sudah berhasrat untuk meletakkan jawatan bersama dengan penolong pengurus pada ketika itu.

"Memandangkan pada ketika itu berlaku permasalahan ini, kami tangguhkan hal tersebut untuk memastikan ia diselesaikan.

"Secara asasnya, saya tidak akan terlibat seketika untuk FAS selagi beberapa perubahan diminta itu tidak dilaksanakan," tambahnya.

Kemelut yang melanda Selangor bermula November lalu apabila Amirudin mendedahkan mereka sebenarnya tiada dana.

Selepas itu, FAS mengancam untuk menarik diri daripada saingan musim 2017 dan timbul pula isu tuntutan gaji serta bonus pemain.

Ia disusuli tindakan Azmin yang turut mahu menarik diri daripada FAS.