Penjaga gawang Tottenham Hotspur, Hugo Lloris, berkata Mauricio Pochettino akan menjadi faktor penentu masa depannya.

Kapten Spurs itu memuji kualiti pengurus kelab itu dan percaya Pochettino adalah yang terbaik di dunia.

Paris Saint-Germain (PSG) telah dikaitkan dengan perpindahan ke atas Pochettino dan Lloris -- yang masih mempunyai kontrak di White Hart Lane selama lima tahun lagi.

Pemain berusia 30 tahun itu mendedahkan langkah Pochettino yang seterusnya akan memberi kesan kepada masa depannya sambil memberi amaran kepada Spurs bahawa semuanya boleh berubah dengan pantas.

"Masa depan saya dikaitkan dengan Mauricio, itu adalah satu kepastian," kata Lloris, yang sedang dalam tugasan antarabangsanya bersama Perancis, kepada Le Figaro.

"Dia amat berharga kepada saya dan hubungan kami melampaui bola sepak - ia adalah kerjasama.

"Kehadirannya dan hubungan kami adalah elemen paling penting buat saya. Satu hari nanti, dia akan menjadi pengurus terbaik di dunia dan bagi saya, dia sudah mencapainya.

"Saya berasa sangat baik di sini tetapi dalam bola sepak segalanya mungkin dan semuanya boleh berubah dengan cepat.

"Saya tidak akan berkata saya tidak mempunyai cita-cita. Terdapat beberapa perkara dalam kehidupan yang sukar untuk ditolak, tetapi itu tidak bermakna saya terdesak.

"Ada beberapa pasukan yang boleh menghadirkan kekaguman, mereka adalah gergasi selepas apa yang mereka capai pada masa lalu dan dalam tempoh 10 atau 15 tahun, mereka masih akan memenangi sesuatu walaupun itu tidak berlaku kepada mereka semua.

"Ada pasukan yang terus menjadikan kepentingan mereka supaya dirasai. Mereka adalah kelab gergasi dari segi sejarah dan pemain legenda mereka.

"Tottenham bukan kelab yang sentiasa menang, tetapi kami cuba untuk mencipta sesuatu. Ia tidak mudah untuk menentang gergasi Eropah, tetapi ia adalah satu sumber motivasi."

Lloris menghampiri musim kelimanya bersama Tottenham selepas tiba dari Lyon pada 2012.