PSG 3 GUINGAMP 0

Karier Neymar di Paris Saint-Germain (PSG) bermula dengan cemerlang apabila dia menyumbat satu gol serta mencipta satu lagi jaringan dalam kemenangan 3-0 di Guingamp, awal pagi tadi.


Bintang Brazil itu menggegar dunia dengan melengkapkan perpindahan termahal bernilai €222 juta (RM1.1 billion) dari Barcelona, awal bulan ini.

Perpindahannya tidak dapat dimuktamadkan menjelang aksi pembukaan Ligue 1 menentang Amiens, minggu lalu -- di mana dia diperkenalkan kepada peminat di Parc des Princes -- bagaimanapun dia menjelmakan aksi bergaya di Stade de Roudourou.

Skuad kendalian Unai Emery berada di hadapan menerusi gol sendiri Jordon Ikoko, Neymar kemudian mengumpan untuk Edinson Cavani sebelum mencetak nama selaku penjaring dengan menyudahkan peluang terbuka, lapan minit sebelum tamat permainan.

Terdahulu, Neymar dibayangi dengan rekod di negaranya dan Barca di mana dia memerlukan enam hingga tujuh perlawanan untuk menyumbat gol pertama.

Dia juga merupakan pemain Brazil pertama yang menjaringkan gol dalam penampilan sulung Ligue 1 buat PSG selepas Nene melakukannya ke atas Saint-Etienne, tujuh tahun lalu.