Paris Saint-Germain (PSG) harus meningkatkan keupayaan berbanding tanggapan terhadap rekod perpindahan apabila bakal menjadi tuan rumah kepada dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok, kata pemain pertahanan, Dani Alves.

Madrid mendahului 3-1 dalam pertemuan pertama pusingan 16 di di Santiago Bernabeu bulan lalu sementara PSG perlu melakukannya tanpa Neymar yang baru menjalani pembedahan disebabkan kecederaan metatarsal.

Ketika Neymar menyertai PSG dengan rekod dunia bernilai €222 juta (RM1 bilion), Ogos lalu, rakan senegaranya, Alves, tiba di Parc des Princes secara percuma setelah dilepaskan Juventus.

Ia bermakna pemain berusia 34 tahun itu tidak bersama Neymar yang mencetuskan ilham dalam kebangkitan Barcelona untuk kemenangan agregat 6-5 ke atas PSG musim lalu biarpun tewas 4-0 di Paris.

Menurut Alves, kemaraan adalah satu kemestian jika PSG berhasrat membuktikan pelaburan besar pemilik dari Qatar bagi membentuk sebuah pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.

"Apa kekurangan PSG? Perlawanan seperti ini membuktikan bahawa segalanya di Paris bukannya berkisarkan wang semata-mata," kata bekas pemain Barca itu dalam sidang media.

"Saya ke sini kerana saya gemarkan persaingan -- ia mengalir di dalam darah saya dan menjadi sebahagian daripada sejarah kelab bukanlah sesuatu yang boleh dibeli.

"Jika saya bercakap dengan pasukan, saya akan menekankan bahawa kami perlu merebut peluang penting ini. Sejarah akan berubah.

"Perubahan sejarah adalah salah satu sebab utama saya ke sini dan sekarang kami perlu melaksanakannya, kami tidak boleh memikirkan banyak -- kami hanya perlu melakukannya.

"Kami fikir kami boleh mara berdasarkan pertemuan pertama, kami lebih hebat daripada mereka dan kami mencipta deretan peluang.

"Kali ini, kami perlu melakukan itu dalam tempoh 90 minit. Ini satu motivasi besar untuk berpeluang menundukkan penyandang juara," tambahnya.

Begitupun, Alves mengakui ketiadaan Neymar pasti dirasai oleh skuad kendalian Unai Emery itu.

Pemain berusia 26 tahun itu menjalani pembedahan pada hujung minggu lalu dan sungguhpun bintang Brazil itu diramalkan akan berehat sehingga tiga bulan, Alves bertekad untuk mencipta peluang buat rakan senegaranya itu beraksi dalam UCL musim ini.

"Mustahil untuk tidak terasa ketiadaan pemain seperti Neymar," katanya. "Bagaimanapun, sama ada anda mahu menangis atau anda meneruskannya, saya memilih pilihan kedua.

"Saya bercakap dengannya setiap hari dan kami berkata, kami akan bertemu lagi dalam pertandingan ini."