Perpindahan rekod dunia bernilai EUR222 juta (RM1.1 bilion) melibatkan bintang Brazil, Neymar, jelas telah melalui proses yang lama selepas Dani Alves mendedahkan bekas penyerang Santos itu memintanya menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

Sebelum Neymar menyelesaikan perpindahannya, Alves terlebih dahulu menyertai juara Perancis itu bulan lalu walaupun turut menarik minat Manchester City.

Selepas membantu PSG memulakan saingan Ligue 1 dengan kemenangan 2-0 ke atas Amiens pada Jumaat lalu, dia mendedahkan Neymar menasihatinya agar berhijrah ke Parc Des Princes.

“Saya rasa ramai orang tersilap. Saya yang perlu berterima kasih kepada Neymar kerana menasihatkan saya untuk datang ke sini,” ujar Alves.

“Dia meminta saya menyertai PSG kerana dia telah bersedia untuk menyertai pasukan ini.

“Dia tahu saya mahu meninggalkan Juve. Neymar kini semakin matang. Dia bukan lagi seperti budak lelaki yang mula-mula tiba di Barcelona dahulu. Ketika itu, memang saya yang menasihatkannya tetapi kali ini ia berlainan,” tambah Alves.