Pertahanan import Kedah, Renan Alves, berdepan hukuman penggantungan tiga perlawanan selepas melakukan kesalahan serius dalam aksi menentang PKNS FC yang berkesudahan tanpa jaringan di Stadium Darul Aman, semalam.

Alves dilayangkan kad merah oleh pengadil, Amirul Izwan Yaacob, pada penghujung perlawanan gara-gara menghantuk kepala penyerang PKNS FC, Faizat Ghazli.

Pertahanan dari Brazil itu melakukan kesalahan 'perlakuan ganas' selepas melakukan tindak balas yang tidak sepatutnya seperti itu.

Alves sah tidak boleh diturunkan dalam perlawanan dengan Pahang, Jumaat ini.

Dia juga berkemungkinan akan terlepas aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur dalam dua perlawanan berikutnya.

"Renan merupakan pemain utama kami.

"Namun, ia sudah berlalu dan saya perlu merancang permainan akan datang tanpa melibatkannya.

"Kami perlu melupakan perkara itu dan menggunakan pemain lain yang kami ada.

"Pemain yang akan menggantikannya pasti gembira dengan peluang itu dan bersemangat tinggi untuk memberikan aksi terbaik.

"Kami sedar kami akan kehilangannya dalam dua perlawanan akan datang," kata ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Berdasarkan peraturan Liga Malaysia (Liga-M), pemain yang menerima kad merah hanya akan digantung satu perlawanan, namun sebarang kelakuan ganas boleh mengakibatkan pemain digantung lebih daripada dua perlawanan.

Keputusan penambahan penggantungan perlawanan tertakluk kepada penilaian Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).