Pemain yang dilaporkan menjadi buruan Liverpool, Alisson, menegaskan dia sangat gembira di AS Roma dan tidak mengadakan sebarang perbincangan berhubung kemungkinan berpindah daripada kelab Serie A itu.

Penjaga gawang Brazil itu menjadi subjek spekulasi perpindahan sengit menjelang Piala Dunia Russia.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu dan penyandang Liga Juara-Juara (UCL), Real Madrid, dipercayai paling berminat memburu tandatangannya sementara Chelsea turut dikaitkan dengan bekas tonggak Internacional itu.

Alisson pernah bercakap tentang harapannya untuk menyelesaikan masa depannya sebelum sepak mula di Russia dan nampaknya semakin hampir kekal di Stadio Olimpico.

"Saya memberi tumpuan kepada tugasan bersama Brazil. Biarlah pihak lain menguruskan isu mengenai Roma. Apa pun yang berlaku akan menjadi langkah yang terbaik," kata pemain berusia 25 tahun itu kepada wartawan.

"Saya cuba untuk tidak membaca berita dengan begitu banyak, ia tidak membantu dengan membaca spekulasi. Tidak ada pegawai rasmi pun yang datang, saya masih mempunyai kontrak dengan Roma.

"Saya sangat gembira dengan bola sepak Itali, saya sangat gembira di Roma."

Kontrak semasa Alisson dengan Giallorossi ialah sehingga 2021 dan dia dijangka akan memulakan kempen pembukaan Piala Dunia menentang Switzerland pada Ahad ini.