Alli yakin telah beraksi cemerlang sepanjang musim

Penulis Jemputan
November 24, 2019 01:19 MYT
WEST HAM 2 TOTTENHAM 3
Pemain Tottenham Hotspur, Dele Alli, menafikan dakwaan prestasinya merudum musim ini selepas mengisi kesebelasan utama dalam aksi pertama di bawah kendalian Jose Mourinho.
Bekas pengurus Manchester United, Mourinho, bermula dengan langkah kanan sejak menggantikan Mauricio Pochettino apabila menewaskan West Ham United 3-2, semalam.
Alli menyinar ketika berdepan skuad kendalian Manuel Pellegrini itu dengan membuka ruang buat Son Heung-min menghasilkan gol pertama sebelum memperagakan teknik kawalan hebat untuk membantu Lucas Moura menambah jaringan kedua.
Walaupun dikritik hebat susulan prestasinya musim ini, dia tidak disenaraikan dalam pasukan kendalian Gareth Southgate baru-baru ini.
Pemain berusia 23 tahun itu cemerlang dalam kemenangan di Stadium London dan dia menegaskan tidak beraksi di bawah kemampuan sebenar dalam kempen musim ini.
"Saya rasa telah beraksi cemerlang setakat ini walaupun keputusan tidak memihak Spurs," katanya.
"Secara individu, saya belum pernah beraksi sangat buruk. Ramai yang bertanya jika saya sedang mendapatkan prestasi lama. Saya tidak mahu mendapatkannya semula. Saya mahu jadi lebih baik, meningkat dan memenuhi potensi yang dimiliki."
Sambil mengakui pemain Spurs melalui minggu yang penuh emosi, Alli berkata dia tidak meragui bahawa rakan sepasukannya akan fokus sepenuhnya dalam perlawanan semalam.
"Ia minggu sukar buat kami," tambahnya.
"Jelas sekali kami telah bersama Pochettino untuk tempoh yang panjang dan semua pemain terkejut apabila mendengar perkhabaran itu. Namun, kami sedar kami memiliki tugas untuk dilaksanakan dan beraksi cemerlang buat peminat.
"Tidak kira apa yang berlaku, kami harus bersatu sebagai satu pasukan. Inilah bola sepak, semuanya berubah. Kami memastikan tiga mata diraih dan perlu kekal positif mengikut kemampuan."