Pemain tengah England, Dele Alli, menyifatkan insiden menunjukkan jari tengah ketika menentang Slovakia ditujukan kepada rakan sepasukan, Kyle Walker, dan bukannya pengadil perlawanan, Clement Turpin.

Alli berdepan tindakan disiplin selepas didapati menunjukkan isyarat lucah ketika aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Ketika sidang media selepas perlawanan, pengedali pasukan, Gareth Southgate, memberitahu bahawa Alli menunjukkan isyarat itu kepada bekas rakan sepasukannya di Spurs, Walker, dan dia turut memberikan penjelasan menerusi laman sosial Twitter miliknya.

“Sekadar untuk menjelaskan, apa yang dilakukan tadi adalah jenaka di antara saya dan kawan baik, Kyle Walker. Mohon maaf jika ia mengguris mana-mana pihak. Kemenangan hebat diraih pada hari ini,” ujar Alli menerusi Twitter.

England bangkit daripada ketinggalan 0-1 menerusi gol daripada Eric Dier dan Marcus Rashford untuk menewaskan Slovakia 2-1 dan mengekalkan pendahuluan dalam Kumpulan F dengan 20 mata.