Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, menegaskan bahawa dia tidak gusar dengan kecederaan yang dialami Angel Di Maria selepas menewaskan Sassuolo dalam aksi Serie A awal pagi tadi.

Di Maria menjaringkan gol pembukaan dalam penampilan pertamanya dan melakukan bantuan gol buat Dusan Vlahovic sewaktu kemenangan 3-0 itu, di mana Vlahovic turut memenangi dan menyudahkan sepakan penalti.

Selepas permulaan perlahan, arus perlawanan itu mula memihak Juventus apabila Di Maria menjaringkan gol sulungnya tetapi kegusaran mula melanda sebaik bekas perancang Paris Saint-Germain (PSG) itu kelihatan terhincut-hincut sewaktu dikeluarkan dalam babak kedua -- disyaki kecederaan adductor.

Denis Zakaria turut tercedera dalam perlawanan itu tetapi Allegri menegaskan bahawa dia tidak gusar dengan keadaan berkenaan.

"Saya tidak gusar. Kita akan lihat keputusan ujian esok," katanya kepada DAZN.

"Malangnya, perkara seperti ini berlaku dalam bola sepak. Dia juga mengalami kecederaan adductor beberapa minggu lalu dan mungkin saya perlu mengeluarkannya sebaik kami mendahului 3-0 tetapi dia sedang menikmati permainannya di atas padang.

"Zakaria hanya mengalami kejang otot, tidak lebih daripada itu. Perkara paling penting adalah kami memenangi satu perlawanan yang benar-benar kami inginkan, di mana ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.