Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, memuji persembahan Sami Khedira ketika membantu pasukan meraih kemenangan 3-1 ke atas AC Milan di Stadium Allianz, semalam.

Khedira melakukan hantaran silang buat pemain gantian, Juan Cuadrado, pada minit ke-79 untuk mengembalikan tuan rumah di depan sebelum memastikan sendiri tiga mata diraih pada penghujung permainan.

Jaringan Leonardo Bonucci menafikan gol pembukaan Paulo Dybala dan berada di landasan terbaik untuk meraih satu mata buat kali pertama ke atas Juventus sejak 2011, sebelum Khedira membantu mengubah rentak perlawanan memihak kepada Juve.

The Bianconeri mendahului saingan Serie A dengan kelebihan empat mata ke atas Napoli dan di landasan terbaik untuk merangkul Scudetto yang ketujuh berturut-turut.

"Khedira adalah pemain bertaraf dunia dan dia mampu membaca permainan di saat-saat genting," kata Allegri.

"Kerana itu, sangat penting untuk membawa masuk pemain yang mampu memahami permainan dan mengubah keputusan perlawanan," katanya.

Juve bakal berdepan Real Madrid dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Rabu ini.

Allegri percaya kemenangan ke atas skuad kendalian Gennaro Gattuso itu memberikan petanda awal kepada Real yang bakal berkunjung ke Itali.

"Ia merupakan kemenangan yang penting, sekali gus memberikan petanda awal buat Real yang bakal berkunjung ke sini nanti," ujarnya.