AC MILAN 0 JUVENTUS 0

Massimiliano Allegri berpuas hati dengan persembahan Juventus ketika terikat 0-0 dengan AC Milan dalam perlawanan Serie A di San Siro awal pagi tadi -- walaupun gagal mendaftarkan sebarang percubaan tepat.

Ia merupakan kali pertama Bianconeri tidak dapat melakukan sebarang percubaan tepat dalam satu perlawanan Serie A sejak aksi menentang Genoa pada Mac 2019.

Keputusan seri itu bermakna Juve kekal di tangga kelima Serie A dan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Inter Milan, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Bagaimanapun, Allegri tiada sebarang rungutan mengenai aksi pemainnya dan percaya mereka masih berada di landasan tepat.

"Ia perlawanan yang baik, kami sudah bertemu mereka berkali-kali dan kekalahan dalam perlawanan ini akan mengakibatkan kami ketinggalan 10 mata di belakang Milan, jadi ia boleh menjadi negatif seperti itu," katanya kepada DAZN.

"Kami perlu sedikit lebih tenang dan lebih fokus sewaktu di kawasan menyerang memandangkan kami agak tergesa-gesa dan berlaku kesilapan sewaktu bola terakhir.

"Ia satu perlawanan sukar dengan beberapa terjahan keras: ia seimbang dan seri merupakan keputusan yang tepat.

"Saya fikir kami bermain lebih baik dalam babak kedua berdepan pasukan sebaik Milan, selepas dua pertemuan yang berlangsung baik.

"Saya gembira kerana pemain saya beraksi lebih kepada sepasukan, memahami bila untuk mengawal bola sewaktu bertahan dan menyerang. Kami semakin menghampirinya.

"Memikirkan bagaimana permulaan kami musim ini, saya amat gembira untuk kami berada di posisi ini dan akan melihat apa yang akan berlaku bulan depan.

"Ini adalah antara perlawanan di mana apa-apa sahaja boleh berlaku. Kami kekal dibezakan tujuh mata dengan Milan dan itulah perkara utama," katanya.

Juve seterusnya akan menantikan kunjungan Hellas Verona pada 5 Februari ini.