JUVENTUS 1 PORTO (agregat 3-0)

Massimiliano Allegri tidak dapat menjangka siapa saingan Juventus dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), namun meminta anak buahnya mempertingkatkan mutu permainan selepas menyingkirkan Porto.


Jaringan Paulo Dybala menerusi sepakan penalti dan layangan kad merah pemain pasukan pelawat, Maxi Pereira, sudah cukup untuk meleburkan harapan menyingkirkan Juve di Turin.

Kemenangan agregat 3-0 menyaksikan The Old Lady merakamkan rekod pertahanan terbaik -- mereka sekadar bolos dua gol dalam lapan perlawanan, sekaligus menyifatkan mereka sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai UCL musim ini.

Begitupun, Allegri mahu persembahan yang jauh lebih baik daripada pemain-pemainnya.

"Sasaran awal kami adalah mara ke pusingan suku akhir," katanya kepada Mediaset.

"Kami perlu mempertingkatkan lagi kualiti permainan kami. Cabaran yang mendatang ternyata bakal memberikan tekanan kepada pemain.

"Kami perlu menghadapi perlawanan seterusnya dengan keberanian yang tinggi, ia akan membantu kami untuk mara ke final."