Massimiliano Allegri memuji prestasi penyerang Juventus, Federico Bernardeschi, selepas pasukannya menundukkan Atletico Madrid.

Ketinggalan 0-2 dalam aksi pertama di ibu kota Sepanyol itu bulan lalu, Juve mengerah segala kudrat di Stadium Allianz, awal pagi tadi, dengan hatrik Cristiano Ronaldo menghantar mereka ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Ronaldo menyumbat tiga gol untuk Juve lolos dengan agregat 3-2 sambil Bernardeschi muncul nadi utama biarpun dikerah di beberapa posisi.

Bernardeschi memulakan permainan di sebelah kanan yang menampilkan tiga rangkaian serangan sebelum beralih ke sayap kiri untuk mencipta hantaran silang yang ditanduk Ronaldo untuk gol pembukaan.

Selepas Ronaldo menyamakan kedudukan agregat -- juga dengan kepala menerusi hantaran Joao Cancelo -- Allegri kemudian memasukkan Paulo Dybala dan Moise Kean yang mendorong Bernardeschi untuk memainkan peranan lebih ke bawah.

Begitupun, pemain itu tetap memberikan aksi hebat dalam detik getir dengan gerakan dari sebelah kiri lalu menyusup ke dalam kotak penalti lawan sebelum dijatuhkan pemain gantian Atletico, Angel Correa.

Ronaldo tampil menyempurnakan tendangan penalti itu untuk berkongsi bilangan lapan hatrik UCL bersama-sama Lionel Messi.

Sehubungan itu, Allegri menghamburkan pujian terhadap persembahan Bernardeschi dan Leonardo Spinazzola.

"Spinazzola menghasilkan permainan yang sangat baik di sebelah kiri, Federico Bernardeschi juga beraksi dengan sangat bagus," kata Allegri kepada Sky Sport Italia.

"Ini satu langkah ke hadapan buat Bernardeschi dan saya menyedari betapa bagusnya dia. Kami memerlukan persembahan yang hebat dan kami berjaya menjelmakannya.

"Mereka menampilkan prestasi yang hebat. Mereka memiliki teknik, ketepatan, agresif dan itulah yang kami rancangkan dalam pertemuan pertama tetapi saya mencari jalan lain dengan melakukan beberapa perubahan.

"Semua orang amat menantikan pertemuan ini memandangkan wujud kemungkinan bahawa kami akan tampil goyah. Oleh itu, saya memberitahu pemain supaya tetap tenang dan menjaga keseimbangan mereka, kalau tidak kami akan menghadapi risiko besar.

"Saya mahukan pendekatan ini dalam perlawanan pertama, memilih pemain yang berbeza adalah lebih sukar."

Tambahnya: "Ia benar-benar satu kepuasan buat pemain, kelab dan pemain sendiri. Ini kerana mereka tahu bahawa mereka adalah pasukan yang hebat.

"Kini kami perlu mengalih perhatian kepada Serie A untuk terus mengutip mata yang diperlukan bagi menjamin kejuaraan sebelum kami boleh memikirkan aksi UCL yang selebihnya."

Emre Can juga memberikan aksi berkesan ketika mengisi posisi pertahanan kanan.

"Malah dalam babak pertama, (Rodrigo) Bentancur juga dalam kedudukan yang mirip dengan Emre Can," tambah Allegri.

"Malam ini, Emre Can memperlihatkan dia mampu membina gerakan daripada pertahanan dan boleh mengisi di bahagian tengah. Situasi ini membolehkan Spinazzola dan Cancelo mendapat lebih banyak ruang di bahagian sayap.

"Saya telah berkata peluang berharga yang dilepaskan Thomas Lemar pada penghujung babak pertama adalah detik yang boleh menentukan perlawanan ini.

"Ia membolehkan kami untuk layak."