Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, mengkritik persembahan jentera pertahanannya, terutama dalam separuh pertama musim dalam Serie A dan menuntut mereka untuk bangkit lebih ampuh.

Penyandang juara Serie A itu telah bolos 14 kali dalam 17 perlawanan sebelum cuti musim sejuk dan tampak goyah dalam kekalahan 3-1 kepada Genoa.

Allegri kini mengakui bahawa pendahulu Serie A itu tidak mempamerkan permainan yang baik ketika bertahan dan mahu anak buahnya memperbaiki permainan.

"Saya telah meminta pemain untuk memberi fokus terhadap permainan mereka dan memperbaiki cara menamatkan perlawanan dengan keputusan positif," ujar jurulatih itu ketika sesi sidang media.

"Menguasai hantaran bola tidak bermakna mendominasi perlawanan dan dalam perihal ini, kami mampu beraksi lebih baik.

"Kami telah bolos sebanyak 14 kali dalam 17 perlawanan dan itu bermakna kami terlalu memberi ruang kepada pihak lawan."

Allegri akan berharap Juventus akan bingkas bangkit menjelang perlawanan berdepan Bologna, dengan Andrea Barzagli dijangka kembali membarisi kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan bahu.

"Kemungkinan besar kami akan menurunkan empat pemain pertahanan," jelas Allegri.

"Patrice Evra atau Kwadwo Asamoah akan bertindak selaku bek kiri dan Barzagli juga akan kembali selepas pulih daripada kecederaan.

"Alex Sandro dan Leonardo Bonucci akan kembali pertengahan minggu depan dalam aksi Coppa Italia.

"Paulo Dybala sudah pasti akan turun selaku tonggak penyerang tetapi saya masih bingung dalam menentukan siapakah yang bakal menjadi gandingannya."