Massimiliano Allegri menyifatkan Sami Khedira sebagai muka baru buat Juventus berikutan baru pulih daripada kecederaan.

Khedira hanya membuat enam penampilan dalam kempen Serie A musim ini sebelum dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Juve menewaskan AC Milan dalam aksi Supercoppa Italiana di Jeddah, Arab Saudi, Khamis lalu.

Juve dikaitkan dengan perpindahan pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey, namun The Gunners menyasarkan untuk mengekalkan pemain antarabangsa Wales itu sehingga kontraknya tamat pada akhir musim ini.

Walaupun Juve akan mengharungi jadual yang sibuk untuk memburu gelaran domestik dan di Eropah, Allegri mendedahkan bahawa tidak ada penambahan pemain dalam skuadnya bulan ini.

"Pembelian kami pada bulan ini adalah Khedira. Setakat ini, pada musim ini, risiko terbesarnya adalah berkenaan dengan menyesuaikan diri," kata Allegri kepada wartawan menjelang perlawanan dengan Chievo, awal pagi esok.

"Perpindahan tidak perlu berlaku. Jika tidak, kami berdepan risiko menjejaskan segala-galanya, kami perlu mencapai matlamat yang diusahakan. Kami mesti memperagakan aksi yang agresif dengan segera esok."

Bologna dilaporkan berminat untuk menandatangani Leonardo Spinazzola, begitupun Allegri mengesahkan bahawa pertahanan itu hanya dibenarkan berpindah seandainya penggantinya ditandatangani.

"Saya tidak mahu bercakap tentang pasaran pemain," kata pengurus Juve itu. "Saya bercakap mengenai Spinazzola kerana ia mudah, dia hanya akan pergi jika penggantinya tiba. Dia perlu bermain tetapi tanpa pengganti, dia tidak dibenarkan pergi."

Allegri turut mengesahkan bahawa Mattia Perin akan membuat penampilan kelimanya dalam Serie A musim ini apabila mendedahkan barisan awal skuadnya untuk pertembungan dengan Chievo.

"Alex Sandro juga akan memulakan perlawanan esok," lanjut Allegri. "(Andrea) Barzagli masih berusaha untuk pulih tetapi (Mehdi) Benatia tersisih.

"Keadaan (Miralem) Pjanic akan dinilai minggu ini. Perin akan bermain esok."