Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, yakin kekalahan 4-1 di tangan Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bukan satu pengakhiran buat pasukannya.

Selepas tewas kepada Barcelona dua tahun lepas, anak-anak buah Allegri hadir ke Cardiff dengan motivasi yang tinggi, namun dilenyapkan oleh aksi hebat Real Madrid.

Kekalahan itu menyaksikan penjaga gol, Gianluigi Buffon, masih belum meraih kejayaan dalam saingan paling berprestij Eropah itu.

Barisan pertahanan yang dipertaruhkan Allegri nyata tidak mampu menyelamatkan Buffon daripada dibolosi oleh skuad Los Blancos, namun melaungkan semangat bahawa segala-galanya belum berakhir.

“Saya tidak rasa segalanya telah tamat buat Juventus,” ujar Allegri.

“Buffon akan bersama kami pada musim depan, sama seperti pemain pertahanan, Andrea Barzagli.

“Pemain-pemain ini masih memiliki sesuatu untuk disumbangkan kepada pasukan dan semua pemain sedar kami perlu kembali dengan motivasi serta semangat baru,” kata Allegri.

“Bola sepak sentiasa memberikan kita semua peluang untuk bangkit dan itu matlamat kami untuk musim depan,” tambahnya.