JUVENTUS 1 EMPOLI 0

Massimiliano Allegri menggesa Moise Kean agar terus berpijak di bumi yang nyata selepas penyerang muda itu menjaringkan gol kemenangan Juventus ketika menewaskan Empoli 1-0 dalam saingan Serie A di Turin, awal pagi tadi.


Kane dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua selepas Juve bergelut mencari jaringan.

Dia kemudian menjaringkan gol ketiganya daripada tiga penampilan itu hanya selepas tiga minit dimasukkan.

Pemain berusia 18 tahun itu membuktikan prestasi luar biasanya pada waktu yang betul-betul diperlukan Juve -- yang turun tanpa penyerang utama, Cristiano Ronaldo, ekoran kecederaan paha -- namun Allegri memberikan amaran bahawa telah ramai pemain muda sebelum ini yang "hilang arah tuju mereka" selepas beberapa tahun.

"Ia adalah tepat untuk mempunyai impian besar apabila anda berlatih dengan Juventus dan dikelilingi oleh juara-juara seperti ini," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Apa yang membezakan di peringkat ini adalah mentaliti dan dia (Kean) perlu mengatasi segala-galanya dan bersikap profesional dari semasa ke semasa, bersedia untuk bekerja keras dan mempamerkan peningkatan setiap hari.

"Dia mempunyai perwatakan dan kualiti untuk menjadi pemain terbilang, namun ia sama seperti pemain-pemain lain yang hilang arah tuju mereka sebelum ini," katanya.

Paulo Dybala turut diketepikan dalam kemenengan ke atas Empoli itu kerana kecederaan pinggul ketika sesi memanas badan.

Allegri mengakui pasukannya memerlukan sedikit masa bagi menangani krisis kecederaan pemain.

Juve gagal menyerlah untuk menidakkan pasukan di tangga ke-17 itu dengan aksi hambar sepanjang babak pertama, namun Allegri menjelaskan kesabaran pasukannya sepanjang tempoh itu mendatangkan hasil.

"Dybala diterjah keras dalam aksi persahabatan antarabangsa dan dia mengalami kekejangan otot sewaktu sesi memanas badan, jadi kami memilih untuk tidak meletakkan risiko ke atasnya.

"Kami meletakkan Dybala dalam perancangan kami, namun kehilangannya pada saat-saat akhir memerlukan saya untuk melakukan perubahan.

"Saya memilih untuk menunggu sehingga separuh masa kedua untuk melakukan penyesuaian yang diperlukan kerana agak sukar untuk menyampaikan mesej itu kepada pemain.

"Empoli sangat agresif pada awal permainan dan kami telah menunjukkan kesabaran untuk menunggu mereka mengendurkan asakan dan menaikkan tempo permainan kami.

"Adakalanya, itu yang perlu anda lakukan. Tidak bermakna apabila kami Juventus, kami secara automatik akan memenangi setiap perlawanan.

"Kami bergelut dalam babak pertama dan tidak dapat mengatasi kekuatan Empoli, namun kami mengubah beberapa perkara untuk memiliki separuh masa kedua yang lebih baik dengan tidak membenarkan mereka melakukan percubaan tepat," tambahnya.