Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, berkemungkinan menurunkan gandingan Gonzalo Higuain, Paulo Dybala dan Douglas Costa dalam perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Tottenham, awal pagi esok.

Higuain dan Dybala dapat mengatasi masalah kecederaan dan bertandang ke Wembley dalam misi membantu Bianconeri mara ke pusingan suku akhir selepas seri 2-2 dalam aksi pertama di Turin.

Ketika Juve kehilangan khidmat Mario Mandzukic, Federico Bernardeschi dan Juan Cuadrado, Allegri akan menurunkan barisan terbaik bagi mengelak daripada beraksi dalam masa tambahan.

"Higuain dan Dybala akan beraksi walaupun tidak di tahap terbaik, mereka boleh mempamerkan aksi cemerlang," katanya.

"Terdapat peluang yang besar Costa akan turut serta.

"Kami perlu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit kerana tidak memiliki banyak pilihan dari bangku simpanan," katanya.

Kapten Juve, Gianluigi Buffon, percaya Spurs boleh ditembusi kerana mereka memiliki keinginan untuk bermain secara menyerang.

"Mereka gemar menyerang," kata Buffon.

"Secara fizikal dan teknikal, mereka sangat kuat dan ia meletakkan kami dalam keadaan yang tertekan.

"Jika kami memiliki peluang, kami akan menggunakannya sebaik mungkin."