Penjaga gawang AS Roma, Alisson, komited sepenuhnya dengan kelab Serie A itu dan tidak membincangkan prospek perpindahannya ke Liverpool, kata ejennya.

Pemain Brazil itu dilaporkan menarik perhatian pasukan kendalian Jurgen Klopp itu serta Real Madrid susulan ketangkasannya di Itali dan dalam Liga Juara-Juara musim ini.

Pengarah sukan Roma, Monchi, Ahad lalu menyatakan kelab itu tidak takut kehilangan penjaga gol berusia 25 tahun itu -- kontraknya akan berakhir pada Jun 2021 -- walaupun pemain itu mengakui dia tertarik dengan minat yang ditonjolkan beberapa kelab utama di Eropah.

Wakilnya itu tidak menolak idea perpindahan sambil menegaskan Alisson tetap fokus dengan tugasannya di Stadio Olimpico.

"Alisson merupakan salah seorang penjaga gol terbaik dunia. Dia sayangkan Roma 100 peratus," kata Ze Maria Neis kepada The Sun.

"Adakah dia akan menandatangani kontrak baru? Buat masa ini, dia hanya fokus kepada Serie A dan Liga Juara-Juara.

"Kami mempunyai hubungan yang hebat dengan Roma, kami tidak pernah bercakap dengan Liverpool," katanya.

"Saya tidak tahu berapa banyak kos untuk memancingnya, bergantung kepada Roma dan pasaran perpindahan," tambahnya.

Alisson menyertai Roma dari Internacional pada 2016 menerusi perjanjian bernilai €8 juta (RM38.4j).