Enggan sekadar menjadi pelengkap, pemain sayap Terengganu FC (TFC) II, Muhammad Aliff Fitri Jefri, bertekad membuktikan kemampuannya selepas diserap ke pasukan utama TFC dalam saingan Liga Super 2018.

Sambil berterima kasih kepada jurulatih kedua-dua pasukan, Aliff Fitri, 22, menyifatkan berita itu sebagai tonik terbaik untuk meningkatkan prestasi semasanya.

“Peluang ini tidak akan dilepaskan dan saya mahu bekerja keras bagi meraih tempat dalam senarai kesebelasan utama TFC.

“Ini juga kesempatan terbaik untuk belajar daripada jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, yang sentiasa dimahukan mana-mana pemain muda,” ujarnya.

Semalam, TFC mengumumkan tiga pemain TFC II "dinaikkan pangkat" untuk bersama skuad kendalian Irfan Bakti itu, iaitu Aliff Fitri, Muhammad Haidhir Suhaini dan Bruno Junichi Suzuki.

Pertukaran itu menyaksikan pemain tengah berpengalaman, Ismail Faruqi Ashari, Abdul Shukor Jusoh dan awang import, Lee Jun-Hyeob, akan diturunkan bersama TFC II.