Pertahanan Juventus, Alex Sandro, dipanggil menyertai skuad kebangsaan Brazil bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia bulan depan.

Sandro dipanggil selepas bintang Real Madrid, Marcelo, mengalami kecederaan hamstring ketika mewakili pasukan Los Blancos menentang Real Betis dalam pertemuan yang menyaksikan Madrid tewas 0-1, Rabu lalu.

Brazil kini menduduki tangga teratas pusingan kelayakan zon Amerika Selatan dan akan menghadapi dua perlawanan terakhir menentang Bolivia dan Chile.

"Alex Sandro telah dipanggil pada Jumaat untuk menyertai skuad Brazil bagi menghadapi dua aksi kelayakan Piala Dunia.

"Dia akan menggantikan Marcelo yang mengalami kecederaan otot pada kaki kiri," kata satu kenyataan Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF).

"Real Madrid telah menghantar laporan kesihatan Marcelo dan selepas meneliti laporan tersebut, Marcelo memerlukan tempoh masa yang lebih panjang untuk pulih, sekaligus terlepas aksi seterusnya."

Brazil akan turun menentang Bolivia di La Paz pada 5 Oktober sebelum bertemu Chile di Sao Paulo, lima hari kemudian.