Paco Alcacer mendakwa ramai melayaninya dengan buruk sewaktu di Barcelona menjelang pertemuan Liga Juara-Juara Eropah dengan bekas pasukannya itu Rabu ini.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu meninggalkan Barca untuk menyertai Borussia Dortmund secara pinjaman pada awal musim lalu sebelum melengkapkan perpindahan secara tetap Februari lalu.

Dia kemudian membuktikan kemampuannya di Jerman dengan menjaringkan 18 gol sepanjang kempen Bundesliga pertamanya selain sudah menjaringkan tujuh gol musim ini.

Dengan prestasi seperti itu, Alcacer berpeluang menutup mulut pihak yang meragui kemampuannya di Barca, yang akan bertandang ke Signal Iduna Park, lusa.

"Saya akan memikirkannya pada waktu itu," katanya ketika ditanya SER Catalunya sama ada dia akan meraikan jaringannya ke atas Barca dalam perlawanan itu.

"Saya menghormati ramai orang di sana. Ramai daripada mereka yang melayan saya dengan baik tetapi ramai juga yang melayan saya dengan buruk. Rakan sepasukan dan penyokong melayan saya dengan baik.

"Dalam apa jua pekerjaan, jika mereka mempercayai anda, anda akan memberikan yang terbaik dan jika tidak, anda tidak dapat melakukannya.

"Ia amat penting buat saya untuk melihat tanda-tanda kepercayaan itu dan pada akhirnya, ramai daripada mereka tidak menunjukkannya," katanya.

Alcacer melakukan 37 penampilan LaLiga sepanjang dua musim bersama Barca dengan 23 daripadanya selaku pemain gantian.

Bekas penyerang Valencia itu sudah masak dengan gaya permainan Luis Suarez dan Lionel Messi, yang masih belum diturunkan musim ini kerana kecederaan, selaku penggempur utama Barca.

Ketika ditanya tentang pengaruh Messi di Camp Nou, dia berkata: "Amat jelas pemain pada tahap seperti itu amat penting buat pasukan.

"Anda akan sentiasa mendengar pandangannya dan menurutinya.

"Harap-harap dia hanya dapat diturunkan untuk menentang Granada minggu depan dan bukannya ketika bertemu kami," tambahnya.