Pertahanan Barcelona, Jordi Alba, bertekad mahu mendapatkan semula tempatnya dalam barisan utama pasukan di bawah kendalian Ernesto Valvarde, musim depan.

Alba melakukan 39 penampilan dalam semua kejohanan pada musim lalu, namun dia sedar kurang beraksi bagi musim 2016/17.

Keputusan pengendali sebelum ini, Luis Enrique, menggunakan tiga pertahanan tengah telah menyebabkan Alba terpaksa menyaksikan perlawanan dari bangku simpanan, termasuk ketika saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus serta aksi bertemu Atletico Madrid dan Sevilla dalam saingan LaLiga.

Pemain Sepanyol itu, yang meluahkan kekecewaannya pada Mac lalu, menjelaskan dia tidak gembira dengan cara Enrique yang tidak mempercayai kemampuannya.

Kini, Valverde telah mengambil-alih jawatan ketua jurulatih dan Alba mahu memulakannya semula bersama pengendali berusia 53 tahun itu.

“Saya mahu beraksi sebanyak mungkin bersama Valverde,” kata Alba.

“Bermula semula daripada awal dan saya amat gembira dengan cabaran yang menanti.

“Kami mahu memenangi semua kejuaraan yang disertai pada musim ini,” tambahnya.