Pertahanan Barcelona, Jordi Alba, memberikan pujian terhadap pengendali baru, Ernesto Valverde, yang berjaya mencorak taktikal berkesan sehingga memberikan permulaan hebat dalam kempen LaLiga.

Skuad Blaugrana meraih kemenangan keenam berturut-turut selepas menewaskan Girona 3-0, awal pagi tadi, dan Alba sendiri memainkan peranan utama apabila percubaannya pada minit ke-17 terkena kapten lawan, Aday Benitez, sebelum menerjah masuk ke gawang.

Kemenangan itu meletakkan Barca kekal di tangga teratas liga, empat mata menyaingi Atletico Madrid di tangga kedua, dan Alba percaya ia adalah kesan daripada pengaruh Valverde yang menggantikan Luis Enrique pada Mei lalu.

"Jurulatih telah memacu pasukan ke arah kesempurnaan, semua pemain meraih peluang untuk bermain.

"Dia melakukan tugas dengan baik. Kami memberikan tindak balas terhadap perancangannya. Dia membuatkan semua pemain memiliki perasaan yang positif," kata Alba.

Barca kini mengharungi 13 perlawanan dengan kemenangan secara berturut-turut sejak musim lalu dan Valverde menyifatkan ia hasil daripada etika kerja yang ditampilkan oleh pemain-pemain.

"Semangat yang ada dalam pasukan amat meyakinkan.

"Kami cuba untuk bersama ketika menyerang dan bertahan. Apa yang menggembirakan saya mengenai pasukan ini adalah mereka telah diprogramkan untuk bekerja keras," ujar Valverde.