Alba: Dest miliki masa depan cerah bersama Barcelona

Ammar Hakim
November 25, 2020 03:46 MYT
Jordi Alba berkata Sergino Dest mampu menjadi bintang Barcelona selepas pertahanan muda itu meledak gol pertamanya bersama kelab.
Pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu membuka jaringan buat The Blaugrana ketika bertemu Dynamo Kiev awal pagi tadi ketika skuad kendalian Ronald Koeman mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan kemenangan 4-0.
Dest turut bertahan dengan cemerlang dan berjaya melakukan serangan dengan empat sentuhan dalam kotak penalti Dynamo dan melakukan enam hantaran silang -- lebih daripada mana-mana pemain.
Bek-kanan berusia 20 tahun itu telah mempamerkan ketenangan selepas berjaya menyumbat jaringan.
"Dest hadir dengan penuh keinginan yang tinggi. Dengan Sergi Roberto mengalami kecederaan dia akan memperoleh lebih banyak peluang," kata Alba.
"Saya fikir dia mempunyai tahap tinggi. Dia mempunyai masa depan yang hebat dan sangat sesuai dengan ciri-ciri yang harus dimiliki pertahanan kanan Barca."
Dest, yang berhijrah ke Barca dari Ajax bulan lalu, pula berkata, "Kami bermain dengan sangat baik. Ini adalah impian untuk menyumbang dengan gol pertama saya untuk kelab. Saya berusaha keras untuk mengekalkan kedudukan saya kerana saya gembira dalam pasukan ini dan saya mahu mengekalkan tempat saya."

20a 21d- Sergiño Dest has scored vs Dynamo Kiev at the age of 20y 21d, the youngest defender for @FCBarcelona in #ChampionsLeague ever. Strenght#DynamoBarça #UCL pic.twitter.com/wYLl1P3Fid

— OptaJose (@OptaJose) November 24, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Martin Braithwaite menjaringkan dua gol dan Antoine Griezmann turut menemui sasaran ketika Barca meraih kemenangan keempat dalam saingan UCL -- pertama kali mereka melakukannya sejak musim 2002-03.
Berbeza jika dibandingkan dengan prestasi dalam saingan LaLiga, mereka telah mengharungi permulaan yang paling teruk dalam tempoh 29 tahun dan memberikan tekanan kepada ketua jurulatih, Koeman, yang baru sahaja bersama kelab sejak Ogos.
Alba berkata pemain-pemain masih menyesuaikan diri dengan pendekatan Koeman dan perubahan tuah dalam LaLiga akan tiba tidak lama lagi.
"Kami harus banyak membuat perkembangan dalam mutu permainan, ini adalah pasukan yang ramai dengan pemain baru.
"Saya berasakan kami telah melakukan yang terbaik, untuk pasukan dan staf kejurulatihan. Kami akan terus berusaha untuk memperbaiki persembahan dan dijangka kembali ke tahap terbaik hujung tahun ini."