N'Golo Kante kembali ke Chelsea selepas diketepikan daripada aksi kelayakan Piala Dunia Perancis bertemu Kazakhstan dan Bosnia-Herzegovina ekoran kecederaan hamstring.

Pemain berusia 29 tahun itu beraksi selama 90 minit ketika Les Bleus seri 1-1 dengan Ukraine dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Stade de France semalam.

Bagaimanapun, Kante mengalami kecederaan pada penghujung permainan dan kini akan dinilai oleh Chelsea, yang memiliki tiga pertandingan perlu dihadapi bulan depan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Perancis, "Pemain tengah Chelsea itu mengalami kesakitan di bahagian belakang paha kiri pada akhir perlawanan menentang Ukraine.

"Dia menjalani pemeriksaan klinikal dan radiologi semalam, yang menunjukkan luka kecil.

"Setelah berunding dengan Doktor, Franck Le Gall, jurulatih kebangsaan, Didier Deschamps telah memutuskan untuk mengembalikan N'Golo Kante ke Chelsea hari ini.


Chelsea berdepan West Brom dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 3 April ini, sebelum bertemu Porto dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara 7 April ini.

Skuad kendalian Thomas Tuchel turut beraksi dalam separuh akhir Piala FA bertemu Manchester City dalam tiga minggu lagi.

Kante diturunkan 36 kali dalam semua pertandingan oleh Chelsea musim ini.