David Alaba akan berhijrah ke Real Madrid dengan perpindahan percuma setelah tamat kontrak bersama Bayern Munich, perkara itu disahkan Los Blancos.

Pertahan serba boleh dari Austria itu mengumumkan Februari lalu bahawa musim ini adalah yang terakhir di Allianz Arena, selepas menyertai kelab itu pada 2008.

Gergasi LaLiga, Madrid berjaya mendapatkan khidmat Alaba di Santiago Bernabeu dengan kontrak lima tahun, mengatasi barisan kelab ternama Eropah untuk menandatanganinya.

Alaba membuat debut dalam pertemuan DFB-Pokal dengan Greuther Furth pada Februari 2010, menjadi pemain termuda dalam sejarah kelab pada ketika itu serta melakukan lorongan jaringan buat Franck Ribery dalam tempoh seminit berada di atas padang.

Pemain kebangsaan Austria itu hanya berusia 17 tahun, tujuh bulan dan 18 hari ketika melakukan debut, tetapi Jamal Musiala kini menjadi pemain termuda Bayern dalam aksi sulung.



Alaba telah membuat 448 penampilan untuk pasukan gergasi Bavaria itu, menjaringkan 35 gol dan memberikan 47 assist dalam semua pertandingan.

Pemain berusia 28 tahun itu telah memenangi 27 trofi bersama Bayern, menjulang gelaran Bundesliga sebanyak 10 kali dan memenangi Liga Juara-Juara dua kali -- kedua-dua kejayaan Eropah itu menjadi sebahagian daripada treble.