David Alaba tidak dapat cergas untuk berdepan Hoffenheim dalam aksi Bundesliga malam ini selepas digantikan ketika Bayern Munich membelasah Tottenham Hotspur 7-2, pertengahan minggu lalu.

Pemain pertahanan, Alaba, menjadi sasaran terjahan keras daripada Serge Aurier di Stadium Tottenham Hotspur sehingga terpaksa dikeluarkan selepas babak pertama kerana mengadu berasa sakit di bahagian rusuk.

Bayern kemudian mengemaskini laman Twitter dengan menjelaskan bahawa pemain Austria itu mengalami bengkak yang teruk dan tidak patah.

Bagaimanapun, pengendali pasukan, Niko Kovac, mengesahkan semalam bahawa Alaba tidak dapat diturunkan berdepan Hoffenheim tatkala Bayern berusaha untuk mengekalkan kedudukan teratas liga.

Juara Jerman itu juga akan sekali lagi mengharungi perlawanan tanpa pemain termahal kelab, Lucas Hernandez, selepas terlepas aksi menentang Spurs akibat kecederaan lutut.

"Malangnya, Alaba dan Hernandez tidak akan dapat beraksi malam ini," katanya.

"Mereka tidak berada di dalam skuad berdepan Hoffenheim."

Bayern memenangi empat perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, menduduki tangga teratas Bundesliga dan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah biarpun bergelut di permulaan kempen.