Pemain tengah Penang FC, Al-Hafiz Harun, menetapkan sasaran untuk terpilih mewakili negara dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bermula 5 Disember depan.

Jelas pemain berusia 27 tahun itu, beraksi dalam kejohanan berkenaan merupakan impiannya sebaik bergelar pemain Harimau Malaya.

Al-Hafiz sebelum ini tersenarai untuk mewakili skuad kebangsaan bagi dua aksi persahabatan di Amman menentang pasukan tuan rumah, Jordan, dan Uzbekistan awal bulan ini.

Bagaimanapun, dia tidak diturunkan dalam kedua-dua perlawanan itu, sekali gus menyemarakkan semangatnya untuk terus mempamerkan aksi terbaik bagi mencuri hati ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Dia berkata kepada Nadi Arena: "Saya tiada rezeki untuk bermain ketika menentang Jordan dan Uzbekistan tetapi saya tidak akan berputus asa kerana masih ada peluang untuk bermain dalam Piala Suzuki AFF.

"Walaupun saya tidak dapat bermain tempoh hari, saya yakin dapat menambat hati Tan Cheng Hoe untuk menyenaraikan saya dalam Piala Suzuki AFF."