Kunjungan Tottenham ke Burnley untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi terpaksa ditangguhkan ke hari lain yang akan ditentukan kelak berikutan cuaca buruk.

Kedua-dua pasukan telah bersedia untuk berhitung di Turf Moor itu tetapi keadaan bersalji tebal memaksa pegawai perlawanan untuk menangguhkan perlawanan dengan padang ditutup sepenuhnya.

Pengadil, Peter Bankes, menganggap keadaan itu tidak selamat untuk mengadakan perlawanan walaupun ada kakitangan padang Burnley bertungkus lumus untuk membersihkan salji.

Spurs dalam satu kenyataan berbunyi: "Kami boleh mengesahkan bahawa perlawanan menentang Burnley hari ini telah ditangguhkan kerana keadaan cuaca buruk."

Ribut Arwen telah melanda United Kingdom (UK) pada hujung minggu ini namun baki perlawanan EPL yang lain dijangka akan diteruskan.