Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, memuji semangat juang yang ditampilkan pasukannya apabila bangkit melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dalam aksi sulung Kumpulan G, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui skuad kendaliannya, yang sebahagian besar dibarisi pemain muda, gagal menyerap tekanan dan menyesuaikan diri dengan intensiti tinggi perlawanan di hadapan puluhan ribu penyokong skuad Garuda itu pada awal aksi separuh masa pertama.

Namun, persembahan babak kedua pemain negara yang lebih tenang dan berani, disifatkan Cheng Hoe sebagai antara persembahan terbaik dan kunci utama kejayaan membawa pulang tiga mata berharga.

“Kami agak gementar kerana ini merupakan kali pertama hampir kesemua pemain skuad ini bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno. Satu persembahan terpuji daripada setiap pemain, terutama dalam babak kedua.

"Mereka sangat fokus kepada perlawanan dan tiada perkara lain mereka fikirkan selain bermain dengan begitu baik. Ini satu daripada persembahan terbaik mereka,“ kata Cheng Hoe.

Dalam aksi itu, pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, yang dimasukkan sebagai pemain gantian muncul wira selepas meledak dua gol pada minit ke-37 dan ke-97 selain satu gol disumbangkan pemain tengah Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-65.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia menamatkan badi kekalahan 15 tahun di stadium keramat skuad Garuda itu selepas kali terakhir mencipta kemenangan 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2004.

Malaysia akan meneruskan kempen kelayakan dengan melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.

-- BERNAMA