BARCELONA 4 REAL SOCIEDAD 2

Ronald Koeman yakin Barcelona memperagakan rentak terbaik mereka dalam tempoh setahun apabila membuka kempen LaLiga pertama mereka selepas era Lionel Messi dengan mengalahkan Real Sociedad 4-2.


Dua gol daripada Martin Braithwaite yang menyusuli jaringan pembukaan Gerard Pique memberikan Barca kelebihan tiga gol selepas 59 minit permainan dalam pertembungan di Camp Nou itu, awal pagi tadi.

Julen Lobete dan Mikel Oyarzabal kemudian cuba merapatkan jurang dengan dua gol dalam tempoh tiga minit untuk mencemaskan tuan rumah di penghujung perlawanan, namun Sergi Roberto menemui sentuhan penyudahnya pada masa kecederaan untuk memastikan keceriaan buat barisan kendalian Koeman itu.

Ia adalah cara yang sempurna buat gergasi Catalan itu untuk melakar kejutan dan melupakan sentuhan penjaring terbanyak sepanjang zaman mereka, Messi, ke Paris Saint-Germain (PSG) minggu ini secara percuma.

Tatkala Koeman lebih gemar sekiranya Messi kekal, bekas pengurus Belanda itu berasa Barca telah membuktikan bahawa masih ada kehidupan tanpa bekas kapten mereka tersebut selepas membenam La Real.

"Kami sedar kawalan bola kami bagus, kami telah bekerja keras untuk menekan dan melakukannya dengan melibatkan semua pemain," katanya dalam sidang berita selepas perlawanan.




"Kami harus lebih kolektif berbanding sebelum ini. Bagi saya, mereka telah melangsungkan satu permainan terbaik dalam setengah jam pertama sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Inilah jalan yang ingin kami turuti.

"Saya ingin memiliki Messi dalam pasukan ini. Sudah tentu kami tidak mempunyai pemain yang mampu membuat gerakan licik tetapi sekarang ini kami lebih mengutamakan usaha semua pemain.

"Kami harus mencipta peluang untuk menjaringkan gol. Hari ini kami menyumbat empat gol jadi tidak apa-apa."

Pique merangsang kejayaan Barcelona itu menerusi gol pembukaannya pada minit ke-19 apabila menanduk masuk sepakan percuma daripada Memphis Depay yang melakukan aksi kompetitif pertama untuk majikan barunya tersebut.

Depay, Eric Garcia dan Rey Manaj hanya didaftarkan Barca semalam selepas Pique terpaksa akur memotong sejumlah besar gajinya bagi memastikan mereka dapat memenuhi had tangga gaji yang ditetapkan LaLiga.

Pique meraikan golnya dengan mencium logo Barcelona di jersinya, lantas Koeman memuji pertahanan yang begitu setia berkhidmat itu kerana mengutamakan pasukan.

"Bagi saya, Pique juga merupakan ketua pasukan tahun lalu," kata pengurus itu lagi.

"Atas faktor kecederaan, dia tidak dapat beraksi sebanyak yang dia mahukan. Dia telah menjadi teladan bagi semua orang di Catalan ini."

Braithwaite pula menjadi sosok penting dalam perlawanan pembukaan itu menerusi dua golnya untuk menjadikannya pemain Denmark pertama yang meraih pencapaian sedemikian dalam LaLiga abad ini -- di sebalik sering dikait akan meninggalkan Camp Nou.

"Saya selalu mengatakan bahawa dia adalah contoh hebat seorang pemain bola sepak profesional," kata Koeman.

"Dia sering bekerja keras untuk pasukan dan dia telah meningkatkan permainannya -- bukan gol semata-mata.

"Dia membantu kami dalam banyak aspek. Dia juga mempunyai kepantasan dan selalu dia sangat sukar untuk dikekang. Saya gembira mempunyai pemain sepertinya."