"Ada sedikit tuah menyebelahi kami", ujar ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, apabila jaringan pada minit akhir masa tambahan menyaksikan pasukannya layak ke suku akhir Piala FA setelah menang tipis 5-4 ke atas Kuantan FA di Ipoh, malam tadi.

Tambah Abu Bakar: "Dalam keadaan mendahului 4-1 dalam separuh masa pertama tetapi kehilangan Ritus Krjauklis pada minit ke 68 menyebabkan pasukan hilang posisi dan
daripada selesa bertukar menjadi tekanan.

"Kuantan FA pula tiba-tiba bangkit mengejar sehingga mampu seri 4-4 di penghujung perlawanan. Ini adalah satu mimpi ngeri kepada mana-mana pasukan pun.

"Satu faktor lagi, pemain saya hilang fokus apabila begitu mudah Kuantan FA mendapat dua sepakan penalti. Saya rasa pengadil perlawanan tidak begitu tepat dalam membuat keputusan.

"Mujur Shahrel Fikri penyelamat. Dia memang selalu berada di masa dan posisi terbaik ketika kami (PKNP) memerlukannya", ujarnya lagi.