Aksi pertama Manchester City-Borussia Monchengladbach dipindah ke Puskas Arena

Shaiful Shamsudin
Februari 9, 2021 02:03 MYT
Pertemuan Manchester City dengan Borussia Monchengladbach dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) akan dilangsungkan di Budapest, demikian disahkan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Berita itu muncul sehari selepas badan induk itu membuat keputusan yang sama mengenai pertembungan RB Leipzig dengan Liverpool pada 16 Februari depan berikutan Kerajaan Jerman mengenakan sekatan perjalanan ke atas kawasan yang terjejas oleh mutasi COVID-19.

UEFA can confirm that the #UCL round of 16 first leg between Leipzig and Liverpool will now take place at Puskás Aréna in Budapest on 16 February. Read more ?

— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) February 7, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Hanya warga negara atau penduduk Jerman diberi pengecualian tetapi belum ada peraturan khusus buat atlet profesional, ini bermakna The Citizens tidak akan dibenarkan memasuki negara jiran itu.
Peraturan UEFA membenarkan perlawanan ditukar atau dipindahkan ke gelanggang berkecuali, lantas Puskas Arena terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada perhitungan Gladbach dan City.
Satu kenyataan daripada badan induk itu berbunyi: "UEFA mengesahkan bahawa perlawanan pusingan 16 UCL pertama di antara Borussia Monchengladbach dan Manchester City akan berlangsung di Puskas Arena, Budapest. Tarikh perlawanan (24 Februari 2021) dan sepak mula kekal.
"UEFA ingin berterima kasih kepada Borussia Monchengladbach dan Manchester City atas kerjasama dan sokongan yang erat termasuk Persekutuan Bola Sepak Hungary atas bantuan dan persetujuan mereka untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan yang dimaksudkan."
Perlawanan kedua dijadualkan berlangsung di Manchester pada 16 Mac.
#Manchester City #UCL #Covid-19