Aksi berkarat tetapi Mehmet Durakovic tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dalam perlawanan pra-musim pertama menentang PDRM FC, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Perak yang berkesudahan 0-0 itu, pemain Perak beraksi jauh daripada ketika muncul juara Piala Malaysia 2018, 27 Oktober lalu.

Penyerang, Gilmar Jose Da Silva, tidak menunjukkan ketajaman selaku penyerang apabila gagal menyudahkan peluang terhidang.

Begitupun, jurulatih, Durakovic, merehatkan ramai pemain utama, termasuk Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Wunder Luiz Biten Court Junior, Nazirul Naim Che Hashim, Nasir Basharuddin dan D Kenny Pallraj.

Hasrat kira-kira 5,000 penyokong yang hadir untuk menyaksikan muka baru, Zac Anderson, beraksi tidak kesampaian apabila dia tidak diturunkan jurulatih dari Australia itu.

"Ini aksi pertama pemain selepas kami memenangi Piala Malaysia lalu.

"Memang persembahan agak berkarat sedikit tetapi saya berpuas hati, terutama persembahan pemain muda yang diturunkan." katanya.

Durakovic berkata dia memandang ke hadapan pertemuan dengan Kedah dalam perlawanan amal tahunan merebut Perisai Perpaduan di Stadium Darulaman, Alor Setar, Ahad ini.

" Saya akan turunkan barisan terkuat kami untuk perlawanan itu dalam usaha muncul juara pertama trofi ini," katanya.