Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, kecewa apabila anak-anak buahnya tidak dapat mengekalkan sistem permainan yang sama dalam setiap perlawanan selepas kecundang 5-1 di tangan Terengganu dalam aksi pertama Piala Malaysia 2018, semalam.

Kuala Lumpur mempamerkan persembahan yang kurang konsisten pada musim ini, malah hampir terjerumus ke kancah Liga Perdana selepas gagal mengekalkan sistem permainan yang sama dalam setiap perlawanan.

Aksi skuad Warga Kota itu dalam dua aksi terakhir Liga Super sebelum ini menentang Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat pujian Maciel sambil mengharapkan ia dapat diteruskan dalam kempen Piala Malaysia.

Namun, harapan itu tidak menjadi kenyataan selepas benteng Kuala Lumpur mudah dibolosi Terengganu, yang menyaksikan kapten lawan, Tchetche Kipre, mencipta hatrik.

"Ia bukan sesuatu yang normal untuk sebuah pasukan. Kami mengharungi perlawanan yang menarik tetapi gagal melakukan perkara sama dalam aksi lain.

"Kami banyak melepaskan bola kepada lawan. Kami harus pulang dan cuba mengubah situasi ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menganggap kemenangan besar itu sebagai motivasi tambahan menjelang pertemuan penting menentang Perak minggu depan.

Secara tidak langsung, skuad Peteh kini berada di landasan tepat untuk menepati ramalan selaku pasukan pilihan bagi melepasi saingan Kumpulan A tetapi Irfan bersikap realistik, dengan melihat perjalanan masih lagi jauh buat pasukannya.

Pengendali berpengalaman itu juga menghargai sumbangan tonggak utama, Lee Tuck, yang mendominasi bahagian tengah di samping menyumbangkan satu gol menarik dalam pertemuan itu.

"Sekurang-kurangnya apabila kami mendapat tahu bahawa Perak meraih keputusan seri dalam satu lagi aksi Kumpulan A, ia memberi motivasi yang baik buat pemain-pemain Terengganu memandangkan kami menang 5-1.

"Jadi, perjalanan masih jauh dan kami akan cuba meneruskannya. Matlamat utama ketika ini adalah mara ke suku akhir," ujar Irfan.