Aksi kelayakan pusingan ketiga Kumpulan B, Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia pada 28 Mac depan wajar diadakan di gelanggang berkecuali.

Demikian padangan beberapa pemerhati bola sepak tempatan berlandaskan ketegangan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara ketika ini.

Kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-Nam, yang juga abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), 13 Februari lalu, mungkin menyebabkan aksi Korea Utara-Malaysia yang dijadualkan di Stadium Kim Il Sung dipindahkan ke gelanggang berkecuali.

Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam menyerahkan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk memutuskan sama ada perlawanan tersebut wajar diteruskan di Pyongyang selepas Wisma Putra turut mengarahkan Duta Besar Malaysia di sana pulang.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, keutamaan perlu diberikan terhadap keselamatan skuad kebangsaan.

"Untuk memastikan pemain kekal fokus dalam misi ini, sudah tentu kita harus menjamin keselamatan pemain," kata Rizal Hashim.

"Sebab itu FAM harus bertegas kepada AFC supaya perlawanan diadakan di gelanggang berkecuali, atau beraksi di sini dahulu dan kemudian berkunjung ke Pyongyang apabila keadaan sudah stabil."

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir, berkata: "Memang benar, sebagai pemain mereka harus fokus 100 peratus terhadap perlawanan yang mereka hadapi.

"Sekiranya ada gangguan luar seperti soal keselamatan, sudah tentu ia akan menjejaskan psikologi ketika aksi menentang Korea itu nanti."