Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak mahu membuat keputusan terburu-buru berhubung status aksi kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia pada 28 Mac depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John, berkata ia kerana ada prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan bagi menangani isu perlawanan di antara dua negara yang mempunyai ketegangan hubungan diplomatik.

Jadual perlawanan Korea Utara-Malaysia di Pyongyang menimbulkan sedikit kerisauan selepas hubungan diplomatik kedua-dua negara kini sedikit tegang ekoran kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-Nam, yang juga abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-Un.

Menurut Windsor, ini bukan kali pertama badan bola sepak Asia itu mengendalikan perlawanan membabitkan dua negara yang mempunyai ketegangan hubungan diplomatik.

AFC kini memantau dengan rapi situasi berkenaan dengan memberi ruang untuk ia reda sebelum memutuskan tindakan yang akan diambil.

"Kami ingin memberi masa kepada kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini," katanya. "Maka pada masa ini, kami harus tunggu dan lihat."

"Saya sudah pun berhubung dengan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, untuk memberi perkembangan terkini berhubung perlawanan ini."

Windsor turut memberi jaminan keutamaan AFC ialah keselamatan pemain dalam membuat keputusan berhubung perlawanan itu.

"Soal keselamatan ini bukan sahaja kepada pemain atau pasukan tetapi juga kepada pegawai perlawanan, penonton, penaja dan pihak media. Itu salah satu daripada keutamaan kami," tambahnya.

Jika berlaku perubahan, ia merupakan kali ketiga sejak 2012 aksi antarabangsa skuad bola sepak negara terpaksa diubah ke venue berkecuali atas sebab keselamatan.


Kelayakan Piala Asia 2019
Palestin lwn Malaysia (13 Nov 2015)
Venue asal : Stadium Antarabangsa Dura, Hebron
Venue berkecuali : Stadium Antarabangsa Amman, Jordan
Sebab : Faktor keselamatan kerana peperangan

Kelayakan Sukan Olimpik 2012
Syria lwn Malaysia (14 Mac 2012)
Venue berkecuali : Stadium Raja Abdullah, Jordan
Sebab : Faktor keselamatan kerana ketidakstabilan politik