Walaupun tidak sehebat dulu, aksi yang ditunjukkan bekas-bekas pemain kebangsaan dan Sabah tetap menghiburkan lebih 1,000 peminat bola sepak yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan di antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Kelibat nama-nama besar dalam arena bola sepak negara pada suatu ketika dulu turut memeriahkan lagi aksi persahabatan yang julung-jalung kali diadakan di Negeri di Bawah Bayu itu.

Antara bekas pemain yang beraksi termasuk Datuk James Wong, Datuk Soh Chin Aun, Matlan Marjan, Yap Wai Loon, Gerard Mojiliu, dan G. Raveychandran selain kelibat Datuk Santokh Singh dan Datuk Hassan Sani yang hadir menyaksikan perlawanan menarik itu.

Perlawanan itu juga diserikan dengan kehadiran pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, yang merasmikan aksi persahabatan itu dan seterusnya turut beraksi bersama pasukan bekas pemain Sabah.

Sementara itu, James, yang juga presiden bekas pemain Sabah, ketika ditemui berkata aksi persahabatan itu mengubat kerinduan bekas pemain untuk berhimpun dan beraksi semula selepas sekian lama menggantung kasut.

"Kami juga berterima kasih kepada pasukan bekas pemain kebangsaan yang sudi datang ke Sabah untuk mengadakan perlawanan persahabatan di sini dan sudah pasti kami teruja kerana ada di kalangan mereka yang sudah lama tidak bertemu, apatah lagi beraksi bersama," katanya.

Pengurus skuad bekas pemain kebangsaan, Santokh, pula berkata perlawanan yang diadakan itu bukanlah semata-mata kerana keputusan tetapi lebih kepada mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan kedua-dua pasukan.

"Keputusan (perlawanan) bukanlah satu isu. Perlawanan ini bukan sahaja telah menghimpunkan legenda-legenda bola sepak negeri dan negara tetapi membawa kehadiran peminat daripada pelbagai kaum dan agama. Suasana seperti inilah yang kita mahu sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Bagi Chin Aun atau lebih dikenali sebagai Towkay pula, ia satu penghormatan apabila mereka dijemput untuk datang ke Sabah dan bermain bersama bekas pemain negeri itu.

"Kami juga berterima kasih kepada Datuk Peter kerana menyambut kedatangan kami, seterusnya memberi sokongan kepada perlawanan persahabatan ini. Ia satu penghormatan kepada kami, khususnya bekas-bekas pemain yang pernah mengharumkan nama negeri serta negara," katanya.

Terdahulu, Peter berharap lebih banyak perlawanan membabitkan bekas pemain akan diadakan pada masa akan datang dan beliau turut merancang untuk mengadakan aksi timbal balik kedua-dua pasukan itu di Kuala Lumpur.

Dalam perlawanan itu, pasukan bekas pemain kebangsaan berjaya menewaskan pasukan bekas pemain Sabah 3-1.

Selepas perlawanan itu, peminat turut berpeluang bertemu bekas pemain kesayangan mereka itu sambil merakamkan gambar kenangan masing-masing.