Aksi kelayakan Piala Dunia-Piala Asia 2022/2023 ditunda lagi, atas dasar perkembangan situasi semasa dan persetujuan majoriti, aksi tersebut bakal dilangsungkan secara berpusat Jun ini.

Vietnam menjadi negara terakhir yang memberikan persetujuan bagi Kumpulan G dalam mesyuarat yang berlangsung hari ini.

Ini merupakan tarikh akhir yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana 12 negara yang mendapat kelayakan automatik ke pusingan seterusnya perlu diketahui sebelum Julai.

Penundaan tersebut bukan hanya melibatkan Kumpulan G malah membabitkan tujuh kumpulan lain yang sebulat suara memilih Jun sebagai tarikh terbaik merujuk kepada keadaan semasa ketika ini.

"Semua negara terlibat bersetuju bahawa keadaan berkemungkinan bulan hadapan tidak akan memberikan peluang untuk menganjurkan perlawanan jadi keputusan yang terbaik telah diambil untuk ditunda kepada bulan Jun," kata Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul.

Jadual baru akan dikeluarkan AFC dalam masa terdekat.

Namun pemilihan tuan rumah untuk setiap kumpulan hanya akan ditentukan selewat-lewatnya bulan depan.

AFC memberi penekanan serius untuk kriteria yang perlu dipenuhi setiap wakil tuan rumah.

"Perkhabaran yang menyegarkan apabila saingan ditunda ke bulan Jun. Ia membenarkan kami untuk membuat persiapan dan berharap untuk menjalankan perlawanan persahabatan mengikut kepada situasi," kata ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe.