Menang tetapi tidak gembira.

Itu situasi jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini, yang langsung tidak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang terpaksa mengerah keringat untuk mengutip jaringan kemenangan, malam tadi.

Aksi Liga Perdana di Shah Alam itu memihak pelawat apabila bangkit membenam skuad Projek MSN/FAM 2-1.

Jurulatih dari Itali menegur pasukan yang diperkuatkan tiga pemain import tetapi gagal mencipta kemenangan yang menyaksikan Shamil Abd Ghani muncul wira dengan jaringan kemenangannya pada minit ke-89.

"Pasukan perlu terus bekerja keras agar tidak terus tenggelam.

"Saya tidak gembira dengan corak permainan kami, . Ada masanya kami tidak bernasib baik.

"Petang ini kami ada membuat beberapa percubaan, ini pengajaran baik buat kami tetapi lain kali, kami harus menjaringkan gol (dalam situasi begitu)," katanya dalam sidang media.


?⚪ RECOVERY SESSION Sesi latihan ringan diadakan pada petang ini di Padang Sports Digital Transformation Center, Kuala...

Posted by TRW Kelantan FC on Wednesday, March 10, 2021


Pengendali pasukan pembangunan itu, Yusry Che Lah, pula masih mampu tersenyum walaupun tiada sebarang mata dikutip selepas dua perlawanan.

Peningkatan ketara prestasi anak buahnya yang seramai 20 pemain sungguhpun bergelut dengan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini membuatkannya berlapang dada.

"Mereka jujur dan ikhlas dalam memberi saingan.

"Mereka memahami apa yang kami inginkan dalam 45 minit pertama walaupun pada 45 minit kedua kami agak ketinggalan, kami harus amat tahu kelemahan pada minit terakhir yang amat ketara ini.

"Pemain agak lemah dan takut kerana mungkin bimbang sekiranya pihak lawan melakukan jaringan dan akhirnya ditewaskan.

"Ini pengajaran kedua yang amat bermakna buat pemain," katanya.