Unai Emery mengakui persembahan Paris Saint-Germain (PSG) langsung tidak menghiburkan dalam kemenangan 3-1 ke atas Dijon, namun berpuas hati dengan kutipan tiga mata.

Jaringan Thiago Silva dan Edinson Cavani di hujung perlawanan mengesahkan kemenangan PSG selepas Lucas meledak gol pembukaan sebelum Dijon menyamakan kedudukan menerusi Julio Tavares.

Kemenangan tersebut meletakkan penyandang juara Ligue 1 itu di tangga kedua liga, tiga mata di belakang pendahulu, Monaco, begitupun Emery mengakui anak buahnya gagal mempamerkan aksi kemas.

"Bukan sesuatu yang mahu disaksikan penyokong kami," ujar Emery ketika sesi sidang media.

"Tetapi bukan mudah untuk beraksi di tempat lawan. Pihak lawan cukup bersemangat apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Kami mendominasi perlawanan tetapi kesilapan dalam babak pertama membenarkan pihak lawan bangkit dengan jaringan penyamaan.

"Saya masih berpuas hati dengan kemenangan ini. Kami masih di landasan untuk beraksi dengan lebih baik dalam setiap perlawanan.

"Kami sudah pun beraksi sebanyak 23 perlawanan, apa sahaja mampu berlaku."