Pertembungan Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini terpaksa ditangguhkan ke esok kerana hujan lebat.

Komisioner perlawanan, Shahrin Ismail, telah memaklumkan kepada pengadil perlawanan bahawa keadaan padang tidak sesuai untuk pemain beraksi pada malam ini

"Pada jam 5:15 petang tadi, kami telah membuat pemeriksaan terakhir bersama kumpulan pengadil dan mereka memaklumkan keadaan padang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos tidak sesuai untuk permainan. Ia disebabkan hujan yang tidak berhenti sejak semalam," katanya.

"Untuk makluman semua penyokong pasukan JDT, kepada peminat yang telah membeli tiket untuk aksi pada malam ini, tiket tersebut boleh digunakan pada hari esok," kata Setiausaha Diraja Kelab JDT, Kapten Mohd Fahmy Yahya.