Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, percaya bahawa aksi hebat Sevilla di Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah tidak meraih banyak perhatian akibat ditutupi kisah kekalahan Manchester United.

Keputusan Vincenzo Montella memasukkan Wissam Ben Yedder menjadi kunci utama kepada kelab Sepanyol itu untuk menjaringkan dua gol dalam masa empat minit untuk menang 2-1, dua minit selepas dimasukkan walaupun tuan rumah cuba bangkit menerusi jaringan Romelu Lukaku.

Kebanyakan perhatian mengulas mengenai cerita kekalahan United di laman sendiri akibat persembahan buruk sehingga menyebabkan Sevilla yang menjuarai Liga Europa tiga tahun berturut-turut sejak 2014 dilupakan.

Bagi Simeone, tidak adil untuk mengadili persembahan Sevilla berdasarkan aksi buruk skuad bimbingan Jose Mourinho itu sehingga menyebabkan Red Devils gagal ke suku akhir.

“Ini adalah melibatkan satu pencapaian besar yang hebat dan penting. Sevilla beraksi dengan penuh motivasi, disiplin dan kemahuan untuk mencapai sesuatu kejayaan,” kata Simeone.

Sementara itu, Atletico yang memiliki bekalan tiga gol menjelang aksi kedua pusingan 16 Liga Europa bertemu Lokomotiv Moscow tidak mahu menjadikan kelebihan itu untuk cepat berpuas hati.

“Bagi saya, segalanya penting. Kami menggunakan perlawanan ini sebagai peluang untuk terus berkembang, seperti apa yang dilakukan dalam enam tahun.

“Jangan lupa faktor yang membuatkan kami lebih kuat kerana saya masih ingat Atletico pernah beraksi dalam Liga Europa tanpa penaja pada jersi. Kini, ia tidak boleh diabaikan untuk terus menjadi lebih baik.

“Kami tidak hanya memikirkan apa yang akan berlaku esok tetapi sentiasa berusaha untuk lebih bagus setiap hari,” katanya.