WEST HAM UNITED 1 LIVERPOOL 4

Mohamed Salah mempamerkan aksi terbaik apabila membantu Liverpool menundukkan West Ham United 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Olimpik London, awal pagi tadi.


Beraksi di tempat lawan, Salah yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menang 3-0 ke atas Huddersfield Town, minggu lalu, tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-21.

Serangan balas daripada skuad kendalian Jurgen Klopp itu menyaksikan Sadio Mane membuka ruang untuk membolehkan Salah mudah menolak bola masuk menewaskan Joe Hart.

Joel Matip menambah gol kedua tiga minit kemudian selepas mengambil kesempatan ke atas situasi kelam-kabut di depan gol Hammers dalam asakan yang berpunca daripada sepakan sudut Salah.

Setelah kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat babak pertama, West Ham merapatkan jurang ketika aksi separuh masa kedua berusia 10 minit.

Hantaran lintang Andre Ayew dari sebelah kiri gol lawan tepat singgah ke kaki Manuel Lanzini yang melepasi perangkap ofsaid sebelum melambungkan bola melepasi penjaga gol, Simon Mignolet.

Gol yang memberi sedikit kelegaan buat West Ham itu hanya bertahan seminit apabila Alex Oxlade-Chamberlain menjaringkan gol ketiga buat Liverpool menerusi tendangan kaki kiri selepas percubaan pertamanya diselamatkan oleh Hart.

Tiga minit kemudian, Lanzini berpeluang untuk kembali merapatkan jurang dan situasi pastinya berbeza sekiranya dia tenang melakukan rembatan selepas percubaannya sekadar melewati palang gol pelawat.

Salah melengkapkan malam gemilangnya bersama Liverpool pada minit ke-75 apabila gandingannya bersama Mane memberikan gol keempat buat Liverpool.

Lorongan bola daripada pemain sayap Senegal itu memberikan banyak ruang buat Salah yang menahan bola terlebih dahulu sebelum melepaskan sepakan kaki kiri tepat ke penjuru kanan gol tuan rumah dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu meletakkan anak-anak buah Klopp di tangga keenam liga dengan 19 mata dan berkongsi mata bersama pasukan tangga keempat dan kelima, Chelsea dan Arsenal.