Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, menyifatkan aksi cemerlang Mahali Jasuli sebagai pemain tengah skuad negara ketika aksi persahabatan dengan Bhutan, Ahad lalu, menambah variasi pilihan buatnya membentuk kesebelasan terbaik untuk aksi suku akhir pertama Piala FA berdepan Perak di Shah Alam, Sabtu ini.

Rajagobal mengakui Perak bukan lawan yang mudah meskipun PKNS menewaskan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu 2-0 dalam saingan Liga Super di Lumut sebelum ini.

Kerana itu, keserasian Mahali sebagai pemain tengah dengan barisan negara merintis kemungkinan buat bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu diletakkan sebagai pemain tengah dan Jafri Firdaus Chew mengisi posisi sayap buat PKNS, Sabtu ini.

"Kita tahu Mahali adalah pemain yang serba boleh. Bukan sahaja mampu bermain di tengah, dia juga pernah bermain di bahagian pertahanan kiri dan kanan.

"Ia bagus untuk kami kalau ada pemain yang boleh bermain di beberapa posisi," kata Rajagobal.

Selain Mahali, Jafri dan juga penjaga gol, Sharil Shaari, turut berada dalam skuad negara ketika aksi persahabatan dengan Bhutan itu.

Sementara itu, Mahali yang turut cemerlang ketika kelayakan Piala Asia berdepan Lubnan 27 Mac lalu, mengakui keyakinan dirinya kini berada di tahap terbaik selepas dua perlawanan antarabangsa dengan Harimau Malaya.

Namun, Mahali kekal waspada dengan skuad Bos Gaurus kerana menyedari lawan pasti mahu menebus kekalahan di tangan PKNS sebelum ini.

"Memang diakui Perak adalah pasukan yang konsisten. Dalam dua tiga perlawanan sebelum ini, mereka menang. Kalau PKNS ingin mencatatkan kemenangan, kami perlu bekerja lebih keras untuk perlawanan di Shah Alam nanti.

"Keyakinan kami semakin bertambah. Apa yang pasti, perlawanan dengan pasukan kebangsaan dan kelab nyata berbeza. Saya perlu cepat sesuaikan diri seperti mana PKNS bermain sebelum ini," kata Mahali.