Thomas Tuchel memberikan pujian buat Kai Havertz selepas pemain kebangsaan Jerman itu membintangi kemenangan 2-0 Chelsea ke atas Everton dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Havertz merupakan pelaburan besar Chelsea menjelang permulaan musim ini selepas menyerlah bersama kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen, selama beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas mempamerkan permulaan kukuhnya di Stamford Bridge, pemain berusia 21 tahun itu berdepan kesukaran sepanjang beberapa bulan ini, terutama selepas dijangkiti koronavirus November lalu.

Sebelum kemenangan ke atas Everton di Stamford Bridge. Havertz hanya menghasilkan satu gol dan dua bantuan jaringan dalam 20 perlawanan liga.

Bagaimanapun, dia menjadi pemain tonggak dalam perlawanan terbaru itu untuk Chelsea kekal berada dalam kelompok empat teratas.

Havertz melakukan hantaran lintang rendah sehingga memaksa Ben Godfrey terjaring bola ke gawang sendiri sebelum kekasaran Jordan Pickford ke atasnya selepas waktu rehat memberikan peluang untuk Jorginho merekodkan jaringan penalti keenam berturut-turut dalam EPL musim ini.

Aksinya itu memberikan penyokong Chelsea satu gambaran mengenai apa yang mampu ditawarkan Havertz dan Tuchel mahu melihat sesuatu yang lebih baik untuk pemain itu terus menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris.

"Saya amat gembira dengan prestasinya," kata bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG) itu dalam sidang media.

"Tiada sebarang keraguan mengenai kualiti, bakat dan perwatakannya. Dia perlu menyesuaikan diri dengan EPL dan kelab ini, di mana kami bermain untuk memenangi setiap perlawanan dan mempunyai standard tertinggi.

"Saya fikir dia telah melakukannya dengan cemerlang hari ini, dia berada di posisi yang baik dan menggunakan potensinya untuk memacu permainan kami dan untuk meningkatkan sentuhan dalam kotak penalti dengan bertanggungjawab melakukan bantuan, mengambil tanggungjawab itu dan menyelesaikannya.

"Inilah yang kami mahukan daripadanya," katanya.

Keputusan itu melebarkan rekod tanpa kalah Tuchel selaku pengurus Chelsea kepada 11 perlawanan sejak dia mengambil peranan itu daripada Frank Lampard pada 26 Januari lalu.

Hanya Maurizio Sarri (12 bersama Chelsea musim 2018-19) dan Frank Clark (11 bersama Nottingham Forest musim 1994-95) pernah memulakan kerjaya pengurus di kelab masing-masing dengan rekod yang lebih baik.

Ia juga menyaksikan dia menjadi pegurus pertama dalam sejarah EPL merekodkan lima perlawanan pertama tanpa bolos di gelanggang sendiri.

The Blues kini merekodkan lima perlawanan tanpa bolos di laman sendiri buat kali pertama sejak Januari 2015.

Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas dengan berkelebihan dua mata berbanding pasukan di tangga kelima, Wast Ham.