Julen Lopetegui tidak memberikan sebarang bayangan untuk menjamin tempat dalam kesebelasan utama buat Iago Aspas dalam Piala Dunia walaupun penggempur Celta Vigo itu menyumbat gol kemenangan ketika menundukkan Tunisia 1-0, awal pagi tadi.

Sepanyol tampak buntu mencari jaringan dalam aksi di Krasnodar tetapi Aspas, pemain yang menyumbat 22 gol dalam saingan LaLiga musim ini, mengejutkan tuan rumah menerusi tindakan susulan hasil gerakan Diego Costa untuk menghadirkan jaringan pada minit ke-84 bagi memberikan kemenangan buat La Roja.

Kedua-dua pemain itu diturunkan ketika Sepanyol diikat 1-1 oleh Switzerland minggu lalu tetapi Rodrigo diberi tanggungjawab selaku penyerang tunggal dalam aksi awal pagi tadi.

Menjelang aksi pertama Piala Dunia 2018 berdepan Portugal, Lopetegui dilihat masih belum memberikan bayangan kesebelasan utama, termasuk tidak menamakan pilihan serangan buat pasukannya.

"Tiada siapa yang telah mengesahkan tempat dalam kesebelasan utama," ujar Lopetegui.

"Apa yang penting, keputusan yang akan dibuat adalah untuk kebaikan pasukan.

"Benar, anda telah menyaksikan kecergasan pemain dan detik terbaik untuk mereka masuk ke padang tetapi saya tidak mahu fokus terhadap perbincangan tentang penyerang."

Dalam masa sama, pengendali itu juga mengakui pasukannya tidak beraksi di tahap sebenar ketika bertemu Tunisia.

"Ia adalah aksi yang sukar kerana dalam babak pertama, kami tidak beraksi mengikut perancangan sebenar," tambahnya.

"Kami kerap kehilangan bola dan Tunisia mengambil kesempatan atas kesilapan itu.

"Sepanyol menamatkan aksi dengan baik kerana kami tidak ditimpa sebarang kecederaan dan mampu memberikan ruang beraksi kepada ramai pemain. Kini, masih ada enam hari untuk mendapatkan pemain dan prestasi terbaik."